Apakah itu "ADHD"?
Selalunya ibubapa dan guru-guru menggambarkan kanak-kanak yang mudah terangsang, lasak atau tidak mendengar cakap ini sebagai hiperaktif. Istilah gangguan hiperaktif atau kurang tumpuan (ADD) digunakan oleh profesional dalam bidang perubatan untuk menggambarkan masalah yang lebih serius dan berpanjangan pada kanak-kanak.
Gangguan kurang tumpuan (ADD) tanpa hiperaktiviti (terutama sekali jenis yang tidak memberi perhatian penuh) adalah subkategori kepada ADHD. Biasanya, kanak-kanak dalam golongan ini kurang memberi perhatian penuh dan tumpuan mudah terganggu. Adalah dikatakan bahawa ADD tanpa hiperaktiviti kerapkali tidak didiagnosa dengan tepat. Gangguan hiperkinetik merupakan satu lagi istilah yang digunakan untuk menggambarkan ADHD.
Dikatakan 1 daripada 25 kanak-kanak mengalami masalah ADHD dan diandaikan ADHD dialami oleh sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak di setiap bilik darjah. ADHD lebih kerap didiagnosa pada kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Ini mungkin berlaku kerana ADD tanpa hiperaktiviti lebih berpengaruh dalam diri kanak-kanak perempuan dan tidak didiagnosa dengan tepat.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami gangguan ini hanya mendapat bantuan pada usia 6-9 tahun walaupun kebanyakanibu bapa menegaskan masalah yang dihadapi anak mereka mula dikesan pada usia yang lebih muda. ADHD dianggap sebagai penyakit yang akan kekal sepanjang hayat dan sedikit sebanyak dibawa ke alam dewasa.
Apakah tanda-tanda ADHD
Kanak-kanak ADHD haruslah menunjukkan tingkahlaku yang terdapat dalam tiga kategori utama yang sering berlaku dalam beberapa persekitaran seperti di rumah, di sekolah dan sebagainya :-
1. Hiperaktiviti
• Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk
• Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
• Selalu berlari ke sana ke mari atau suka memanjat dan pada kebanyakan masa kelihatan kekok
• Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
• Selalu banyak bercakap
• Sering bergerak cergas atau kerap bertindak seolah-olah “digerakkan oleh motor”
2. Tempoh tumpuan yang singkat
• Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
• Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
• Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
• Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
• Selelu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya)
• Tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lain
• Mudah pelupa walaupun tidak sepaatutnya jika mengikut usia dan keupayaan
3. Tingkah laku impulsif
• Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
• Kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran
• Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
• Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan
Apabila anak anda gagal mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah atau tidak pandai berinteraksi sesama rakannya, mungkin ini menandakan anak anda menghadapi masalh tingkahlaku hiperaktiviti. Kerapkali kanak-kanak yang hiperaktif dianggap sebagai nakal atau jahat. Walaupun kanak-kanak ada kalanya menunjukkan tingkahlaku yang terlalu aktif atau lasak, ibubapa harus berhati-hati agar tidak tersilap membuat andaian dan menganggap anak mereka hiperaktif. Semangat berkobar-kobar, bertindak mengikut gerak hati dan suka bergurau dianggap normal. Tetapi semuanya bergantung kepada usia dan tahap pertumbuhan mereka. Jika anda ragu-ragu, rujuklah doktor anda untuk penilaian selanjutnya.
Bolehkah gangguan lain mengiringi ADHD?
ADHD sukar hendak didiagnosa kerana ADHD kerap disertai dengan masalah-masalah lain.
Gangguan perkembangan seperti kelewatan pertumbuhan global (misalnya kerencatan mental) atau gangguan spektrum autistik.
Kesukaran pembelajaran secara khusus iaitu kanak-kanak menghadapi masalah untuk menguasai bahasa atau kemahiran akademik yang tertentu misalnya membaca dan matematik.
Masalah emosional dan tingkah laku; orang lain mungkin akan menganggap kanak-kanak ini sebagai kanak-kanak yang terganggu emosinya. Pada hakikatnya, kanak-kanak itu sendiri sentiasa bergelumang dengan kekecewaan dan terpaksa meluahkan emosi mereka.
Masalah ADHD :
• Masalah sosial. Mereka kerap disisihkan dan tidak dihiraukan oleh rakan-rakan sebaya. Mereka juga kerap berdepan dengan masalah akademik.
• Masalah keluarga. Kanak-kanak ini kerap menimbulkan masalah kepada mereka yang tinggal serumah dengan mereka atau mereka yang berinteraksi dengannya sehingga menimbulkan kedaan tegang. Ibu bapa sering salahkan diri kerana tingkah laku anak-anak mereka. Beban rasa salah ini boleh menjadi ringan jika ibu bapa memahami keadaan sebenar yang dialami oleh anak mereka.
Apakah yang boleh disalah tafsir sebagai ADHD?
• Pencapaian akademik rendah yang disebabkan masalah pembelajaran yang lain
• Kurang daya tumpuan kerana epilepsi atau sawan jenis “petit mal”
• Infeksi atau jangkitan telinga yang menjejaskan pendengaran sesekali
• Suka memusnahkan barang atau tidak responsif akibat keresahan atau kemurungan
• Menghadapi masalah di rumah
Punca ADHD
Tiada siapa tahu apakah punca ADHD. Punca ADHD tidak dapat dikenal pasti dengan tepat kerana terdapat terlalu banyak kemungkinan. Yang pasti ADHD bukan disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
• Menonton televisyen
• Alah pada makanan
• Gula yang berlebihan
• Keadaan hidup yang miskin
• Sekolah bertaraf rendah
Ibu bapa tidak sepatutnya mencari alasan-alasan yang mungkin menjadi punca ADHD. Sebaliknya, setiap keluarga haruslah mengorak langkah ke hadapan sekali gus mengenal pasti cara-cara yang boleh membantu anak-anak mereka mendapatkan bantuan sewajarnya.
Diagnosis dan rawatan ADHD
Membuat diagnosis yang lengkap memerlukan penilaian daripada seorang pakar yang berpengalaman memandangkan terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan keresahan dan tingkah laku yang tidak dapat menumpukan perhatian. Tiada ujian mudah untuk ADHD. Diagnosis dibuat dengan mengenal pasti corak tertentu tingkah laku kanak-kanak serta membuat pemerhatian dan mendapatkan laporan tingkah laku mereka di rumah dan di sekolah daripada ibu bapa dan guru sekolah.
Kerapakali rawatan berkesan untuk ADHD melibatkan pendekatan multidisiplin yang melibatkan bidang perubatan, psikologi, sosial dan pendidikan. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami ADHD memerlukan rawatan.
Ubat stimulan turut digunakan untuk merawat ADHD, tetapi tidak bermakna akan pulih sepenuhnya. Ubat stimulan membantu kanak-kanak ADHD menjadi tenang, dapat menumpukan perhatian dan kurang bertindak mengikut gerak hati. Pada jangka masa berkesanan ubat stimulan, tumpuan perhatian kanak-kanak akan bertambah untuk belajar dan menjalani latihan-latihan kemahiran yang baru. Kanak-kanak juga dapat belajar menjalin hubungan yang baik dengan orang lain, berfikir dengan jelas, boleh memahami pelajaran dengan lebih baik dan mampu mengawal diri sendiri.
Ubat stimulan yang utama untuk merawat ADHD adalah methylphenidate yang dijual di bawah nama dagang Ritalin. Kesan ubat dijangka bermula dalam masa 30-60 minit dan keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3-4 jam. Seorang kanak-kanak mungkin memerlukan antara dua hingga tiga dos pada setiap hari untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Kesan sampingan yang biasa berlaku bagi methyphenidate adalah tidak boleh tidur dan kurang selera makan. Kesan sampingan yang jarang berlaku adalah sakit kepala, pitam atau mengantuk, sakit perut dan biasanya semua ini dirasai apabila dos ubat semakin luput. Apabila kanak-kanak tersebut tidak aktif atau terlalu diam, ini menunjukkan dos yang diambil terlalu tinggi dan perlu dikurangkan.
Ubat stimulan adalah tidak memadai untuk merawat ADHD. Rawatan untuk ADHD perlu diselitkan dengan program psikologi, sosial dan pendidikan yang boleh membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran baru, sikao dan tingkah laku yang seharusnya untuk mereka mengatasi tuntutan hidup.
Bolehkah ADHD sembuh?
Dengan bantuan yang sewajarnya dari ibu bapa, guru-guru, para doktor, kanak-kanak ADHD akan mampu menangani masalah kurang tumpuan atau hiperaktif mereka dengan lebih baik. Mereka juga dapat menyalurkan tingkah laku hiperaktif mereka dalam suasana yang sesuai seperti latihan fizikal atau senaman. Oleh itu, ramai yang memilih aktiviti atau pekerjaan yang memberi mereka kebebasan bergerak.
Walaupun sebahagian kanak-kanak ADHD akan terus menunjukkan tanda atau masalah sehingga dewasa namaun dengan menjalani rawatan perubatan dan terapi yang diikuti semasa kanak-kanak dapat membantu mereka ketika dewasa.
http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_kesihatan/apakah_ADHD.htm.
satu artikel yang menarik. banyak memberi manfaat dan ilmu untuk dikongsi bersama.
ReplyDelete